Skip links

Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024

Teo (kiri) bersama Mohammad Medan (dua dari kiri) melawat reruai pameran foto pada taklimat media MCS 2024 di Kuala Lumpur, hari ini – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024), yang berlangsung dari 17 hingga 19 Disember 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, dijangka menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM2 bilion.

Lebih daripada 500 pempamer dan 10,000 pengunjung perdagangan dijangka menyertai MCS 2024, yang menampilkan ekspo perdagangan dan pameran antarabangsa serta persidangan mengenai kepimpinan.

Sidang kemuncak anjuran Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu yang bertemakan ‘Prosperity Beyond 50’ akan menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China dan berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Pada taklimat media hari ini, Qube dan MATRADE mengumumkan Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) sebagai rakan kongsi strategik untuk MCS 2024.

Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, Datuk Mohammad Medan Abdullah, berkata perkongsian strategik itu akan membawakan sinergi dinamik syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) dan syarikat besar, bagi memastikan kejayaan sidang kemuncak tersebut dalam merangsang hubungan perdagangan dan peluang pelaburan yang kukuh antara Malaysia, China dan ASEAN.

“Komitmen kami untuk memperjuangkan MTC Malaysia, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan, inovasi dan pekerjaan, dicerminkan menerusi perkongsian ini.

“Mereka telah menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian yang luar biasa di tengah-tengah pelbagai cabaran ekonomi global, memberikan sumbangan penting kepada ekonomi kita,” katanya.

Mohammad Medan berkata, MICCI, dengan rangkaian dan pengalaman yang luas dalam usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan antarabangsa, akan memastikan penyertaan kukuh daripada pelbagai industri bagi menjadikan sidang kemuncak itu sebagai hab perbincangan dan kerjasama yang bermakna.

“Perkongsian ini akan memudahkan integrasi perniagaan, daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hinggalah kepada syarikat besar, memperkukuh impak sidang kemuncak itu untuk menarik penglibatan pemain industri utama dan pembuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated, Richard Teo, berkata MTC Malaysia akan melengkapkan penglibatan besar rakan usahawan dari China, yang berminat untuk menjalin kerjasama perniagaan.

“Syarikat China ini mewakili pelbagai sektor dinamik, termasuk bahan binaan, alatan perkakasan, hiasan rumah, automotif, produk kegunaan harian, perkakas, elektronik, budaya, seni dan kraf, liburan, fesyen dan gaya hidup.

“Saya yakin akan wujud sinergi yang ketara antara syarikat Malaysia dan China pada sidang kemuncak itu kerana mereka boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing dan membangunkan perkongsian yang saling menguntungkan,” katanya.

Teo berkata, organisasi itu akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam perbincangan, pembentangan perniagaan, pelancaran produk, pemeteraian memorandum persefahaman dan pameran inovasi yang memupuk hubungan dan menjana potensi perniagaan dengan China dan ASEAN.

Presiden MCMTC, Martin Ang, berkata perkongsian itu sejajar dengan misi mereka untuk membawa MTC ke persada serantau dan global dengan menjalin kerjasama dan menggalakkan pertumbuhan yang mampan.

“MCMTC menyasar untuk menimba dan berkongsi pengetahuan, mengakses sumber baharu dan memacu pertumbuhan pasaran sambil mengukuhkan hubungan dua hala pada sidang kemuncak itu.

“Penyertaan kami dalam MCS 2024 adalah sejajar dengan misi kami untuk memupuk pakatan strategik, menggerakkan kepakaran dan menggalakkan pertumbuhan mampan, memupuk ekosistem perniagaan yang kukuh untuk MTC,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) BERNAMA, Azlina Aziz, berkata BERNAMA akan memainkan peranan penting dengan menyediakan laporan yang tepat dan mengetengahkan kemajuan penting dalam perdagangan, inovasi dan pembangunan mampan.

“BERNAMA komited untuk melaporkan rumusan daripada perbincangan utama, perjanjian dan sidang kemuncak itu kepada khalayak global. Kami percaya pelaporan yang baik akan mencerminkan nilai dan aspirasi bersama antara Malaysia dan China,” katanya.

-BERNAMA


PETALING JAYA: Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan Syarikat Pertengahan Konsortium Malaysia (MCMTC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) sebagai rakan kongsi strategik untuk Sidang Malaysia-China 2024 (MCS 2024).

Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, perkongsian strategik ini akan membawa kehadiran dinamik syarikat peringkat pertengahan Malaysia dan perbadanan besar.

Katanya, ini memastikan kejayaan sidang kemuncak dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan peluang pelaburan antara Malaysia, China, dan rantau ASEAN yang lebih luas.

“Komitmen kami untuk memperjuangkan syarikat peringkat pertengahan (SPP) Malaysia, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan, inovasi dan pekerjaan dapat dilihat menerusi kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan.

Berlangsung dari 17 hingga 19 Disember 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, MCS 2024 dengan tema ‘Prosperity Beyond 50’ akan menampilkan Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa serta Persidangan Kepimpinan.

Dengan lebih 500 peserta pameran dan 10,000 pengunjung perdagangan, ia menyasarkan penjanaan berjumlah RM2 bilion pendahuluan perdagangan dan pelaburan, bagi menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China dan berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Mohammad Medan berkata, SPP Malaysia telah menunjukkan ketahanan dan kebolehsuaian yang luar biasa apabila berdepan cabaran global.

Menurut beliau, rangkaian luas serta pengalaman MICCI dalam mempromosikan perdagangan dan pelaburan antarabangsa akan memastikan penyertaan memberangsangkan dari pelbagai industri.

“Ini menjadikan acara sidang ini sebagai hab untuk perbincangan dan kerjasama yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.

“Kerjasama ini akan memudahkan integrasi perniagaan, daripada perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada syarikat besar, memperhebatkan impak sidang kemuncak untuk menarik pemain industri utama dan pembuat keputusan,” katanya.


KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) 2024 disasar meraih potensi dagangan dan pelaburan mencecah RM2 bilion.

Acara itu menjadi platform kepada ikatan strategik, selain membangunkan ekosistem perniagaan lebih kukuh, khususnya bagi syarikat pertengahan tempatan.

Jelas Presiden Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia, Martin Ang, ia sejajar misi pihaknya untuk menjadikan komuniti itu sebagai peneraju peringkat serantau dan global.

“Saya lihat banyak peluang untuk perniagaan Malaysia meneroka pasaran China dan juga sebaliknya. Hubungan antara kedua-dua negara amat penting.

“Selama ini Malaysia dan China telah bekerjasama rapat dan saya rasa sidang kemuncak ini satu lagi pencapaian buat kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita di sini.

Dijadual berlangsung dari 17 hingga 19 Disember ini, persidangan itu bakal dihadiri 500 peserta pameran dan 10,000 pelawat.

Bertemakan Kesejahteraan Melangkaui 50, sidang kemuncak itu turut menandakan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China.

Leave a comment